Tentang Buana Puitika

Buana Puitika adalah sebuah lelaman sesawang yang dibuka dengan tujuan untuk mengumpul seberapa banyak puisi yang termampu, yang telah dilahirkan oleh anak-anak Singapura. Ia juga bertujuan untuk berfungsi sebagai sebuah wadah alternatif, yang tidak rasmi kepada ruang Karya di Berita Harian dan Berita Minggu, untuk penulis-penulis puisi Singapura berkongsi hasil karya mereka. Ia diharapkan bukan sahaja dapat digunakan oleh penulis-penulis berpengalaman sebagai sebuah wadah perkongsian tetapi juga sebagai sebuah landasan batu loncatan untuk mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan penulisan genre ini.   

Sejarah
Buana Puitika merupakan usaha kerjasama Cikgu Zahir dan Cikgu Arini. Ia telah dikendalikan bersama semenjak pelancaran rasminya pada 12 September 2012.

Sekerat kata...  
"...semasa pengajian saya di Institut Pendidikan Nasional, sering kali saya berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan bahan-bahan sastera Melayu daripada ruang siber, apatah lagi bahan yang dihasilkan oleh orang Melayu Singapura kita sendiri. Saya amat terganggu dengan hakikat bahawa ia jauh lebih mudah untuk mencari puisi-puisi Shakespeare mahupun W.S. Rendra dibandingkan dengan sajak-sajak Suratman Markasan atau Masuri S.N. Adakah ini kerana mutu hasil mereka tidak setaraf? Atau lebih berkemungkinan karya-karya mereka tidak didedahkan secara agresif kepada pihak umum maka tidak tercapai status populariti yang sama? Bukankah kewujudan di ruang siber mencerminkan status kerelevanan sesuatu pada konteks kehidupan hari ini? Nadi sastera kita harus terus berdenyut. Penyesuaian dengan pembangunan teknologi sejagat wajar dilaksanakan. Peralihan wadah harus berlaku dari buku ke lelaman sesawang. Melalui ruang siber, pendedahan dapat dilipat gandakan dan pengabadian dapat dipastikan..."
- Cikgu Zahir   



"...'pena itu bagaikan pedang atau senjata di arena bahasa'. Terkenal sungguh pepatah itu. Namun kini, papan kekunci dan tetikus mengambil alih pena sebagai senjata bahasa. Ramai yang cepat meluahkan isi hati dan berkongsi pandangan di ruang siber. Saya sendiri sudah kerap kali berpuisi melalui Facebook. Bakat dan cinta menulis hadir dalam bangsa Melayu dan melalui ruang inilah akan kami menonjolkan bakat orang MELAYU. Melalui cara inilah akan sebuah BUANA PUITIKA wujud. Dengan harapan bahasa Melayu dan puisi akan berkekalan, merentas masa dan zaman. InsyaAllah. Siapa akan menjadi pelapis dan pelopor bahasa dan bangsa kalau bukan anak Melayu Singapura sendiri?..."
- Cikgu Arini


Laporan Berita Harian

Buana Puitika wadah bagi karya puisi setempat

BERPANDANGAN JAUH: Encik Zahir dan Cik Nurul Arini berharap dapat menyemarakkan lagi minat buat puisi tempatan dengan adanya laman Buana Puitika. - Foto BUANA PUITIKA

NUR FADHILAH SALLEH

BUANA Puitika.
Dunia puisi memang penuh kerencaman sekali gus melambangkan kekayaan budaya Melayu.
Keprihatinan melestarikan puisi Melayu merangsang dua anak muda mengadakan sebuah wadah alternatif yang dinamakan Buana Puitika bagi para penulis tempatan mengirimkan hasil kerja mereka untuk dimuatnaikkan di laman blogspot.
Bagi Encik Zahir Ayub, 25 tahun, dan Cik Nurul Arini Junaidi, 24 tahun, laman itu diadakan khas bagi puisi tempatan kerana mereka berpendapat bahawa lebih pendedahan harus diberikan kepada penulis tanah air.
"Laman Buana Puitika ini ditubuhkan sebagai wadah alternatif menyemarakkan semangat gotong-royong bagi usaha memupuk minat puisi dalam masyarakat tempatan," ujar Encik Zahir.
Dilancarkan pada 2012, laman itu menerima penyertaan melalui Facebook, Twitter, dan e-mel.
Berdasarkan pendirian bahawa puisi itu buat semua, mereka tidak menilai puisi yang dikirim kepada mereka.
"Asalkan bahasa yang digunakan tidak kesat, kami akan muat naikkan ke laman," kata Cik Arini.
Ada juga puisi yang diambil daripada buku, dengan persetujuan penulis.
"Walaupun puisi itu dibukukan, kalau dibuat pencarian Google, puisi tersebut masih tidak dapat dicari.
"Bukan semua yang membeli buku puisi, jadi kami ingin membuat sebuah wadah di mana puisi tempatan dapat dikumpulkan supaya senang dicari dan dijadikan bahan pembelajaran," ujar Cik Arini, seorang guru sekolah rendah.
Mereka melakukan ini dengan harapan lebih ramai akan diperkenalkan kepada puisi Melayu.
Tambah Encik Zahir:
"Sajak yang tidak dibaca itu bukanlah sajak."
Mengimbas kembali titik permulaan berputiknya cinta pada puisi, Encik Zahir berkata:
"Pada 2007, semasa peraduan Gema Puisi, saya di belakang pentas sedang bersedia bagi persembahan dikir barat.
"Sedang saya menantikan giliran, saya terdengar ada orang terpekik bagaikan orang gila, rupa-rupanya seorang pelakon setempat sedang mendeklamasi sajak, Mak Saya Nak Pergi Disko!. 
"Tidak pernah saya tahu tentang sajak kontemporari sebelum itu dan dari situlah berputik minat," kata Encik Zahir yang turut menggemari  penyair terkemuka dari Indonesia, Rendra.
Bagi Cik Arini, minat menulis sajak memang ada sejak beliau berumur 14 tahun.
"Ketika di Maktab Rendah Tampines, minat bagi puisi Melayu berputik selepas pendedahan yang diterima ketika mengambil mata pelajaran Sastera Melayu.
"Pernah sesekali saya hanya ada seminggu untuk bersedia bagi peraduan deklamasi sajak.
"Dengan menggayakan T-shirt putih dan seluar batik, saya mendeklamasikan sajak sendiri, Melayu Melayuku, dan menang juara," ujar Cik Arini, yang mengidolakan penyajak mapan dari Malaysia, Pak Abdul Ghafar Ibrahim (Pak Agi).
Memandang ke hadapan, Cik Arina berharap "bahasa dan budaya itu dapat diterapkan dalam setiap aspek kehidupan supaya ia tidak mati".
"Saya harap mereka ke depan untuk menyertai aktiviti kebudayaan dan secara tidak langsung, bahasa dapat diasah. Jangan takut mencuba," kata Encik Zahir.
Mereka yang ingin menyumbang puisi boleh menghantarnya ke buanapuitika@gmail.com.

0 comments :

Post a Comment